MEMBACA tajuk ini pasti membuatkan pembaca keliru kerana begitu banyak rawatan terkini yang menjanjikan masalah kulit yang satu ini mampu diatasi.
“Sebenarnya ia tidak boleh dirawat walaupun secanggih mana teknologi yang digunakan. Pigmentasi hanya boleh dikurangkan atau dihalang kemunculannya,” kata Pakar Kulit, Dr. Koh Chuan Keng dalam satu sesi temu bual anjuran produk penjagaan kulit, Bio-Oil baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai pigmentasi, Dr. Koh yang juga merupakan Presiden Persatuan Dermatologi Malaysia berkata, ia terbentuk akibat aktiviti melasma berpunca daripada tindakan hormon yang merangsang sel melanin pada kulit. Selain hormon, faktor genetik juga mempengaruhi masalah itu.
Menurutnya, 90 peratus wanita memiliki melasma dan pigmentasi mungkin berwarna sedikit cerah pada awalnya namun ia bertukar menjadi lebih gelap sejajar dengan pertambahan usia.
Tambahnya lagi, lelaki kurang terdedah kepada masalah pigmentasi kerana hormon.
“Wanita mempunyai estrogen semulajadi yang meningkat ketika mengandung dan terdedah kepada matahari. begitu juga wanita yang mengambil pil kontraseptif mengandungi estrogen menyebabkan mereka terdedah kepada masalah pigmentasi,” katanya.
Selepas bersalin, melasma akan hilang (dengan penyusuan badan yang berterusan), namun kadangkala ia kekal pada kulit. Sesetengah wanita mendapati masalah pigmentasi menjadi lebih serius selepas mengandung.
Pancaran matahari yang mengandungi ultra ungu kata Dr. Koh membuatkan pigmentasi semakin teruk. Wanita Asia, katanya terutama di negara dengan cuaca tropika lebih terdedah kepada jeragat berbanding wanita Barat.
“Namun mereka yang berkulit gelap seperti di negara Afrika tidak terdedah kepada masalah ini kerana kulit tiada melasma,” katanya.
Jelas beliau, sebenarnya masalah pigmentasi sudah bermula sejak dari kanak-kanak lagi namun ia terbina di bahagian dalam kulit. Seandainya individu tersebut menghabiskan masa remaja dengan banyak berjemur di bawah pancaran matahari, maka ia membuatkan melasma bertambah aktif dan pigmentasi akan muncul seawal usia itu.
Lebih mengecewakan, ia tidak terbentuk secara sekata. Sebaliknya bertompok-tompok pada bahagian tertentu terutama di bahagian dahi, atas pipi, hidung, atas bibir atau dagu.
Kebiasaannya masalah pigmentasi berlaku pada seseorang sekitar usia 30 hingga 45 tahun.
Anda tidak boleh mengawal paras hormon ketika ini kata Dr. Koh, namun anda boleh melindungi daripada pancaran cahaya ultra ungu sekaligus mengurangkan kemunculan pigmentasi dengan cara mengurangkan aktiviti di luar dan juga pemakaian bahan yang mampu melindungi daripada sinarannya.
Pendedahan terhadap ultra ungu bukan sahaja menggalakkan pembentukan pigmentasi, malah ia juga boleh mengundang kepada kanser kulit. Namun keadaan itu mengambil tempoh yang agak panjang.
Satu lagi perkara yang mengelirukan pelanggan kata Dr. Koh, rawatan laser sebenarnya tidak berkesan mengatasi masalah pigmentasi. Malah keberkesanannya kadangkala jauh lebih rendah berbanding krim pencerah.
Elak pigmentasi dengan cara:
1. Sapu krim atau losyen pelindung yang mempunyai SPF (sunblocks) yang mengandungi UVB (menghalang punca pigmentasi) dan UVA. Ramai masih keliru dengan cara krim pelindung bertindak. Anda sepatutnya menyapu krim setiap tiga jam sekali seandainya terdedah kepada pancaran matahari kerana ia mudah diserap oleh kulit. Kadar SPF paling tinggi hanya sehingga 50. Mereka yang berkulit lebih cerah patut memilih krim dengan SPF lebih tinggi.
2. Penggunaan krim mengandungi hidrokuinon boleh membantu namun ia perlu di bawah pengawasan dan bukannya produk yang boleh dibeli di kaunter.
3. Pakai topi dan pakaian bertutup sekiranya perlu berada di bawah pancaran terik matahari.